BPP 2021 – Pastikan awda dihitung untuk masa depan kitani

  • Peyenaraian Tempat Kediaman

Kaedah Banci

Penyenaraian Tempat Kediaman

Semua unit perumahan akan disenaraikan mengikut kampung / kawasan, mukim dan daerah.

Pegawai banci juga akan melekatkan pelekat pada setiap tempat kediaman.

20 Januari - 21 Februari

Pengendalian e-Census

Orang ramai boleh mengisi borangtanya banci secara dalam talian melalui portal BPP 2021 di www.brucensus.gov.bn.

Maklumat yang lebih terperinci dari setiap ahli isi rumah akan dikumpulkan meliputi maklumat peribadi seperti tarikh lahir, pendidikan dan ciri-ciri pekerjaan.

20 April - 21 Jun

Temuduga Bersemuka

Pegawai banci akan mengunjungi isirumah yang belum diliputi semasa peringkat e-Census untuk ditemuduga secara bersemuka.

Sebagai alternatif, isirumah juga boleh mengisi sendiri borangtanya. Borangtanya yang lengkap diisikan akan diambil semula dan disemak oleh pegawai banci.

20 Julai - 2 Ogos

Mengenai Banci

Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) adalah satu projek pengumpulan data untuk menghitung jumlah penduduk dan juga stok perumahan di sesebuah negara.

Maklumat tersebut akan memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembentukan dasar oleh pihak Kerajaan, dan pelbagai tujuan penganalisaan dan penyelidikan oleh pengguna-pengguna lain.

Negara Brunei Darussalam akan mengendalikan Banci Penduduk dan Perumahan yang keenam pada tahun 2021.

Objektif utama bagi Banci Penduduk dan Perumahan ini adalah seperti berikut:

  • Untuk mengumpulkan maklumat yang lengkap dan terkini mengenai jumlah penduduk dan isirumah di negara ini serta ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi penduduk; dan
  • Untuk mengumpulkan maklumat yang lengkap dan terkini mengenai jumlah perumahan di negara ini dan ciri-ciri keadaan perumahan tersebut serta kemudahan-kemudahan isirumah.

Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. Akta Banci mewajibkan orang ramai menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu adalah disimpan sulit dan dirahsiakan. Mengikut Akta Banci, kegagalan untuk berkerjasama atau tidak mahu memberikan maklumat dikehendaki adalah menjadi satu kesalahan.

    • Secara Dalam Talian (online): e-Census

      Orang ramai boleh mengisikan sendiri maklumat masing-masing secara dalam talian (online), di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa semasa tempoh banci.

    • Temuduga Bersemuka (Face-to-Face Interview)

      Pegawai banci akan mengunjungi tempat-tempat kediaman untuk menjalankan temuduga secara bersemuka.

    • Pengisian Sendiri Borangtanya (Self Enumeration)

      Ketua atau ahli isirumah mengisikan sendiri borangtanya yang disediakan untuk diambil semula dan disemak oleh pegawai banci pada tarikh yang dipersetujui bersama.

    • Computer Assisted Personal Interview (CAPI):

      Pegawai banci menggunakan tablet bagi menggantikan borangtanya yang dicetak semasa mereka menjalankan temuduga bersemuka dengan isirumah.

Lirik dan Lagu Banci

  • (Verse #1 Male)
    Banci Penduduk dan Perumahan Negara,
    Mengumpulkan segala maklumat seluruh negara,
    Tidak ada satu pun yang terkecuali,
    Di bandar mahupun yang di desa
  • (Verse# 2 Female)
    Hasil Banci ini banyak kegunaannya,
    Membantu Kerajaan dalam perancangan negara,
    Membentuk ekonomi dan dasar negara,
    Menempuh bersama arah masa depan
  • (Chorus #1)
    Banci Penduduk dan Perumahan,
    Marilah kita bekerjasama,
    Banci Penduduk dan Perumahan,
    Bersama-sama kita menjayakan
  • (Chorus #2)
    Banci Penduduk dan Perumahan,
    Marilah kita bekerjasama,
    Banci Penduduk dan Perumahan,
    Bersama-sama kita menjayakan,
    Banci Penduduk dan Perumahan,
    Dua puluh dua puluh satu (2021)
  • Ciptaan Lagu: Muhammad Siraj Munir bin Ahmad
    Lirik Lagu: Muhammad Siraj Munir bin Ahmad / Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ashraf
    Hak Milik: Muhammad Siraj Munir bin Ahmad

Soalan-Soalan Lazim

Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) adalah satu projek pengumpulan data untuk menghitung jumlah penduduk dan juga stok perumahan di sesebuah negara.

Menurut garispandu antarabangsa, negara-negara di seluruh dunia disarankan untuk mengendalikan BPP sekurang-kurangnya setiap 10 tahun sekali. Lazimnya BPP dijalankan pada tahun-tahun yang berakhir dengan angka "0" atau "1".

Negara Brunei Darussalam akan mengendalikan Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) pada tahun 2021.

BPP 2021 adalah merupakan banci yang keenam dikendalikan di Negara Brunei Darussalam. Banci terdahulu telah dijalankan pada tahun 1971, 1981, 1991, 2001 dan 2011.

Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) bagi Negara Brunei Darussalam dikendalikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

JPES juga akan melantik Pekerja-Pekerja Sementara bagi Kerja Luar BPP. Mereka boleh dikenalpasti melalui pas banci, surat lantikan dan kad pengenalan masing-masing yang akan sentiasa mereka bawa semasa bertugas untuk pengesahan. Mereka juga akan memakai baju khas BPP atau vest JPES.

Pihak Kerajaan memerlukan maklumat terperinci mengenai jumlah dan profil penduduk mengikut kampung/kawasan di setiap daerah di seluruh negara agar apa jua projek atau program yang dirancang dan dilaksanakan yang mana bagi pembangunan sosio-ekonomi dan kesejahteraan penduduk akan dapat mencapai kumpulan sasaran yang dimaksudkan dan tidak ada yang tercicir.

Data yang dikumpul melalui Banci Penduduk dan Perumahan akan membekalkan maklumat yang komprehensif mengenai penduduk mengikut ciri demografi, sosial dan ekonomi, di samping maklumat mengenai jumlah stok tempat kediaman serta kemudahan atau keperluan asas perumahan. Maklumat tersebut akan memberikan tanda aras baru bagi kegunaan penilaian, perancangan dan pembentukan dasar oleh pihak Kerajaan, dan pelbagai tujuan penganalisaan dan penyelidikan oleh pengguna-pengguna lain.

Objektif utama bagi Banci Penduduk dan Perumahan ini adalah seperti berikut:

  • Untuk mengumpulkan maklumat yang lengkap dan terkini mengenai jumlah penduduk dan isirumah di negara ini serta ciri-ciri demografi, sosial dan ekonomi penduduk; dan
  • Untuk mengumpulkan maklumat yang lengkap dan terkini mengenai jumlah perumahan di negara ini dan ciri-ciri keadaan perumahan tersebut serta kemudahan-kemudahan isirumah.

Banci Penduduk dan Perumahan meliputi semua orang, sama ada rakyat Negara Brunei Darussalam, penduduk tetap atau penduduk sementara, di tempat tinggal biasa mereka, iaitu merujuk kepada mereka yang telah atau akan tinggal sebagai ahli biasa isirumah bagi tempoh enam (6) bulan atau lebih dalam tahun 2021.

Tarikh rujukan penghitungan Banci Penduduk dan Perumahan 2021 ialah pada pertengahan tahun, iaitu pada 30 Jun 2021.

Kerjasama orang ramai dalam memberikan maklumat yang tepat dalam banci ini adalah amat diperlukan. Banci Penduduk dan Perumahan 2021 ini dijalankan di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-Undang Negara Brunei Darussalam. Akta Banci mewajibkan orang ramai menjawab semua soalan banci dan menjamin bahawa maklumat individu adalah disimpan sulit dan dirahsiakan.

Banci Penduduk dan Perumahan akan dilaksanakan dalam tiga (3) peringkat, iaitu:

  • Peringkat Pertama: Penyenaraian Tempat Kediaman (houselisting) mulai 20 Januari 2021 hingga 21 Februari 2021
  • Peringkat Kedua: Pengendalian e-Census mulai 20 April 2021 hingga 21 Jun 2021
  • Peringkat Ketiga: Temuduga Bersemuka mulai 20 Julai 2021 hingga 2 Ogos 2021

Semasa Peringkat Pertama (20 Januari 2021 hingga 21 Februari 2021), semua tempat kediaman mengikut kampung/kawasan, mukim dan daerah akan disenaraikan bagi memastikan liputan yang menyeluruh. Pegawai-pegawai banci akan mengunjungi tempat-tempat kediaman untuk mengumpulkan maklumat mengenai isirumah seperti nama dan nombor kad pengenalan ketua dan setiap ahli isirumah/keluarga yang tinggal di rumah berkenaan. Seterusnya, pegawai banci akan juga memasang pelekat bagi setiap tempat kediaman.

Semasa Peringkat Kedua (20 April 2021 hingga 21 Jun 2021), sistem e-Census akan diaktifkan untuk membolehkan orang ramai mengisikan borangtanya banci secara dalam talian. Orang ramai adalah digalakkan untuk menggunakan kaedah ini dengan membuat pendaftaran terlebih dahulu. Maklumat terperinci bagi setiap ahli isirumah akan dikumpulkan di dalam peringkat ini ialah yang meliputi ciri-ciri peribadi seperti tarikh lahir, pendidikan dan pekerjaan.

Semasa Peringkat Ketiga (20 Julai 2021 hingga 2 Ogos 2021), kerja luar akan dijalankan bagi isirumah/keluarga yang belum diliputi, iaitu mereka yang tidak menggunakan kaedah e-Census semasa Peringkat Kedua atas sebab-sebab tertentu sahaja, seperti tidak mempunyai perkhidmatan internet dan sebagainya. Pegawai banci akan mengunjungi tempat-tempat kediaman berkenaan untuk menjalankan temuduga secara bersemuka atau borangtanya ditinggalkan untuk diisikan sendiri oleh keluarga dan diambil semula kemudian dan disemak oleh pegawai banci.

e-Census ialah satu kaedah yang baru diperkenalkan dalam Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021, di mana orang ramai boleh mengisikan sendiri maklumat masing-masing secara dalam talian, di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa semasa tempoh banci. Sistem e-Census boleh diakses melalui portal BPP 2021 di pautan www.brucensus.gov.bn

Bagi isirumah/keluarga yang menggunakan e-Census semasa Peringkat Kedua dengan lengkap dan teratur, tempat kediaman mereka tidak perlu dikunjungi lagi oleh pegawai banci semasa Peringkat Ketiga.

Walau bagaimanapun, mereka akan dihubungi untuk mengesahkan maklumat masing-masing adalah tepat mengikut tarikh rujukan penghitungan banci (30 Jun 2021). Jika terdapat sebarang perubahan atau tambahan kepada maklumat awal yang dibekalkan semasa Peringkat Kedua, seperti anak damit yang baru lahir, taraf perkahwinan berubah daripada ‘bujang’ kepada ‘kahwin’ dan seumpamanya, mereka akan diberikan akses kepada sistem e-Census untuk membuat pengemaskinian tersebut.

Di bawah Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-Undang Brunei Darussalam, kegagalan untuk berkerjasama atau tidak mahu memberikan maklumat dikehendaki adalah satu kesalahan. Jika sabit kesalahan, awda akan didenda sebanyak BND2,500.00 dan dipenjara selama enam (6) bulan.

Seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam Akta Banci, Penggal 78 dari Undang-Undang Brunei Darussalam, semua maklumat yang diberikan akan disimpan sulit dan tidak akan didedahkan kepada sesiapa yang tidak berkenaan. Semua pegawai banci yang terlibat, termasuk pekerja sementara kerja luar banci yang dilantik adalah diamanahkan untuk merahsiakan segala keterangan yang diperolehi dan mereka dikehendaki mengangkat sumpah menurut Akta Banci.

Maklumat yang dikumpulkan akan digunakan untuk tujuan analisa perangkaan sahaja dan hasil banci akan dikeluarkan dalam bentuk agregat atau ringkasan.

Awda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 dengan melayari laman portal BPP 2021 melalui www.brucensus.gov.bn

Maklumat terkini semasa pelaksanaan BPP 2021 nanti akan dimuatkan melalui portal tersebut, seperti jerayawara BPP 2021 dan e-Census.

JPES akan mengeluarkan iklan bagi pengambilan Pekerja Sementara Kerja Luar bagi Banci, Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021 pada masa tertentu yang akan dimaklumkan melalui akhbar, radio dan televisyen, media sosial dan portal BPP 2021. Iklan juga dikeluarkan melalui JobCentre Brunei.

Orang ramai yang berminat dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang dinyatakan di dalam iklan adalah dialu-alukan untuk memohon.